Semakin ramai rakyat Malaysia menggunakan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka untuk membayar balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Namun begitu, tidak kurang juga yang tertanya-tanya — bijakkah menggunakan simpanan hari tua untuk melangsaikan hutang pengajian?
Jika anda masih teragak-agak, berikut adalah empat situasi di mana menggunakan wang KWSP anda untuk membayar hutang PTPTN sebenarnya langkah yang wajar.
Anda Perlukan Kad Kredit
atau Pinjaman?
Sama ada anda ingin memohon pinjaman peribadi, perumahan, kenderaan atau kad kredit, anda perlu mempunyai skor kredit yang baik untuk meningkatkan peluang kelulusan dan mendapatkan kadar faedah yang rendah.
Hutang PTPTN anda akan direkodkan dalam laporan kredit seperti CCRIS dan CTOS sebagai satu bentuk kemudahan kredit. Semakin tinggi jumlah hutang anda, semakin rendah skor kredit anda.
Jadi, membayar sebahagian hutang PTPTN menggunakan KWSP boleh membantu meningkatkan skor kredit — terutama sebelum memohon pinjaman besar.
Disekat Daripada Ke Luar Negara
PTPTN mempunyai kuasa untuk menghalang anda daripada memperbaharui atau mendapatkan pasport jika anda culas membayar balik pinjaman. Sekatan ini boleh mengganggu rancangan anda untuk bercuti, belajar atau bekerja di luar negara.
Dalam keadaan ini, gunakan wang KWSP untuk membuat bayaran minimum atau separa bagi melepaskan nama anda daripada senarai sekatan imigresen. Ingat, proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 7 hari bekerja, jadi rancang lebih awal.
Perlukan Wang Tunai Untuk Tujuan Lain
KWSP tidak boleh dikeluarkan sesuka hati untuk sebarang tujuan — kecuali di bawah syarat tertentu seperti pembelian rumah, perubatan, atau pendidikan.
Namun begitu, anda boleh guna wang KWSP untuk membayar hutang PTPTN bagi menjimatkan aliran tunai bulanan anda, terutamanya jika anda sedang merancang sesuatu yang perlukan wang tunai besar seperti melangsaikan hutang lain.
Contohnya, jika bayaran bulanan PTPTN anda ialah RM200 sebulan, dan anda mahu meringankan beban selama 2 tahun, anda boleh bayar sekali gus:
💸 RM200 x 24 bulan = RM4,800
Maklumkan kepada PTPTN bahawa bayaran ini adalah untuk menampung bayaran bulanan selama 24 bulan, supaya tiada kekeliruan dalam rekod pembayaran anda.